Perutusan Aidiladha 1435H Dato' Sri Najib Razak Perdana Menteri Malaysia

Perutusan Aidiladha 1435H Dato' Sri Najib Razak Perdana Menteri Malaysia


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd

1. Alhamdulillah, segala pujian dan penuh kesyukuran hanya kepada Allah SWT. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, jua buat sekalian keluarga serta sahabat baginda.

2. Bertepatan dengan nama Aidil Adha itu, perayaan agung ini diikoni oleh dua ibadah besar iaitu ibadah haji dan ibadah sembelihan korban. Intisari kedua-dua ibadah ini ialah sifat dan semangat pengorbanan demi mencari redha Allah dan meninggikan syiar serta syariat agama Allah. Pengorbanan ini, melangkaui dimensi material dan jasadi, malahan ia merangkumi sama aspek jiwa-rohani kita sebagai hamba.

3. Demikianlah kita mengiktibari semangat pengorbanan silam, untuk kita garap dalam perjuangan kita memakmurkan negara yang tercinta ini dengan berteraskan keadilan dan keharmonian. Tiga rencah utama wasatiyyah iaitu keadilan, seimbang dan cemerlang tetap kekal menjadi nilai dalam membangunkan negara Malaysia ini. Kita akan terus beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti.

4. Sebagaimana yang saya ikrarkan di dalam debat umum pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-69 di New York baru-baru ini, Malaysia akan terus berpegang erat dengan pendekatan kesederhanaan sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam. Kita bertekad untuk meneruskan agenda transformasi negara, yang mana ini tentunya memerlukan komitmen dan kesediaan untuk melakukan pengorbanan yang tinggi daripada kita semua.

5. Dalam masa yang sama, kita sedia untuk berkorban masa dan jiwa bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran yang kita kecapi akan terus dipertahankan. Perlembagaan negara serta kedaulatan raja-raja akan kekal menjadi jatidiri bangsa Malaysia. Pengkhianatan mahupun pencerobohan daripada sesiapapun ke atas kedaulatan ini akan kita tentang dengan tegas dan tuntas.

6. Pada kesempatan ini, saya dan keluarga mendoakan, buat mereka yang berada di Tanah Suci, selamat mengerjakan ibadah haji dan semoga mendapat Haji Akbar yang mabrur. Manakala kepada yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid, sama-sama melaksanakan solat Aidil Adha serta melakukan ibadah korban. Semoga sembelihan korban kita ini benar-benar diterima oleh Allah SWT serta meneguhkan lagi takwa kita.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

SPM 2018 Result : Analisa & Ranking SBP